Members

Friday 23 March 2012

Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah



Hari ni sekali lagi KPM, JPN dan PPD memperkenalkan sistem yang baru. Khusus untuk Guru 3K unit keselamatan. Maksudnya, saya jadi mangsanya. Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah (SPKS) ini sebenarnya bertujuan untuk mengetahui tahap keselamatan aktiviti murid, infrastruktur sekolah dan semua yang berkaitan dengan keselamatan. Data perlu diambil dan diisi mengikut skor yang ditetapkan.

Sistem ini sebenarnya mudah untuk diuruskan dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengisinya. Hanya perlu melalui peringkat-peringkat yang mudah seperti pendaftaran pengguna, maklumat sekolah dan mengisi item-item yang telah disediakan. Tapi rasa lucu pula sebab ketika pegawai dari PPD Tawau ni tengah nak buat taklimat penggunaan sistem ni, tiba-tiba pula "APLIKASI INI AKAN DITUTUP PADA 23 MAC 2012 MULAI JAM 8.30 PAGI SEHINGGA 10.00 PAGI BAGI TUJUAN PENYELENGGARAAN". Sekarang ni terpaksalah menunggu sehingga jam 10 pagi.

Sunday 18 March 2012

Pengalaman Memandu Dari KK Ke Tawau



Akhirnya selamat tiba di Tawau pada jam 4.25 pagi. Mula bertolak pada jam 5 petang dari UMS KK. Ketika itu kuliah belum lagi berakhir. Namun terpaksa nekad untuk kembali segera ke daerah halaman walaupun terpaksa memandu seorang diri. Perjalanan memakan masa hampir 12 jam sebab terlelap hampir 2 jam di Batu 32.


Semasa berada di Jalan Tamparuli, Nabawan dan Kundasang, berlaku kesesakan yang teruk. Sebabnya, terlalu banyak lori bermuatan yang melalui jalan tersebut. Yang bikin bengang tu, kadang-kadang sehingga hampir 20 minit kereta terpaksa mengekori lori dari belakang. Punyalah boring... Mengantuk memang tak terkata dah, cuma terpaksa digagahkan mata ni dengan harapan dapat memandu sehingga ke Batu 32 dan tidur sekejap sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Tawau.


Jalan Telupid-Nabawan pada waktu siang. Picture taken from google image

Semasa melalui jalan Telupid dan Nabawan, mata kembali segar. Bukan sebab jalan tersebut elok, tetapi jalannya sangat teruk. terlalu banyak jalan yang berlubang dan rosak teruk. Risau jugak kalau-kalau kereta mengalami kerosakan. Entahlah sampai bila jalan tersebut akan dibaik pulih. Tak berbaloi kita bayar cukai jalan kalau beginilah jalan yang terpaksa kita lalui. Kalau saya takpa jugak sebab hanya sekali sekala melalui jalan tersebut. Cuma rasa kasihan pada penduduk sekitar kawasan Telupid-Nabawan yang menggunakan jalan tersebut hampir setiap hari. Alamat kereta memang kena servis selalu.


Tiba di Batu 32, kereta parking depan restoran, enjin dimatikan dan terus tidur dalam kereta. Ingat mahu lelapkan mata untuk setengah jam, rupanya terlelap hampir 2 jam. Itupun terbangun sebab mama call. Bangun jak, terus masuk restoran dan pekena bakso dan tongkat ali. Supaya ummpphh sikit. Hehe.


Jalan Kinabatangan tidak seteruk jalan Telupi-Nabawan. Jam di kereta menunjukkan tepat pukul 12.25 malam. Keadaan jalan memang sunyi. Hanya sekali sekala bertemu kereta lain dari arah bertentangan. Kadang-kadang dalam 15 minit, tiada satu pun kereta yang melalui jalan tersebut. Dalam fikiran saya, "kenapalah saya drive seorang diri pada waktu macam ni". Berlaku satu kejadian pelik. Sebuah kereta proton saga lama memotong kereta saya dengan lajunya di jalan yang lurus. Tiba-tiba kereta tersebut terus hilang dari pandangan saya. Sedangkan jalan tersebut jalan yang lurus. Ataupun mata saya ni yang dah kabur. Memang pelik.


Tiba di Lahad Datu. Singgah isi minyak dan teruskan perjalanan. Jam menunjukkan pukul 2.22 pagi. Jalan menuju ke Kunak berliku-liku. Lebih kurang sama dengan jalan Ranau. Terlalu banyak papan tanda amaran di tepi jalan seperti "Berhati-hati. Jalan Licin" dan "Awas. Kawasan Kemalangan". Kejadian pelik berlaku lagi. 3 kali saya merasakan kereta seolah-olah berat sedangkan jalan ketika itu rata. Buat tak tau jak la...


Tiba di rumah, katil seolah-olah melambai-lambai mengucapkan "have a sweet dream".


p/s: sebenarnya ada satu lagi kejadian yg paling mengerikan... takpa, make it secret...





Saturday 17 March 2012

Buatmu Guru dan Ibu



Guru adalah Ibu pengasuh budiman,
guru adalah ratu lebah,
lalu memujuk membelai kelopak,
cinta kasih sayang,
lilinnya berbunga sinar cahaya,
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih,
lalu menabur bunga telur,
baktinya segar mewangi,
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh,
pedoman kehidupan,
guru adalah pendakwah,
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad,
memimpin insan,
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.
 





Ibu,
Setiap deras degupan jantungku,
engkau mampu merasanya,
Ketika aku:
Sedih,
Gembira,
Gelisah,
Naluri ibumu,
Bagaikan sebati dalam diriku.

Ketika aku sedih,
Kaulah ubat kepada duka laraku,
Menceriakan dan menghakis,
Perasaan yang melunturkan,
Semangatku.

Ketika aku gembira,
Engkau juga turut berkongsi,
Kegembiraan yang menyinari saat,
Aku hidup di muka bumi ini,
Sebagai manusia.

Pabila gelisah menyelubungi jiwaku,
Engkau masih bersamaku,
Menolong menyelesaikan,
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan,
Perjalanan hidupku.

Ibu,
Selagi hayat dikandung badan,
Aku akan sentiasa mendampingimu,
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua,

Ibu,
Aku tahu kasih sayang yang kucurahkan kepadamu,
Tak setanding kasih sayang ibu kepada anaknya,
Namun, terimalah keikhlasanku,
Untuk menyayangi,
Insan yang mulia ini.

Apabila Ketamakan Menguasai Jiwa



Jika anda berniaga, anda mestilah memikirkan dari segi ekonomi bagaimana hendak untung dan tidak rugi. Jika anda pengamal undang-undang, anda mestilah berusaha agar keadilan dinikmati oleh setiap yang berhadapan dengan proses penghakiman. Jika anda berpolitik, anda sepatutnya berfikir bagaimana untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Jika anda menyeru kepada Islam, anda sepatutnya berfikir bagaimanakah cara agar mesej Islam yang benar atau hidayah sampai dan berkesan untuk sasaran.
Bagi setiap bidang itu ada regunya atau hala tuju yang mesti jelas dalam pemikiran pengamalnya. Jika regu bidang ini ditukar putar sehingga tidak menepati matlamat yang sepatutnya, maka rosaklah bidang tersebut. Seseorang mungkin boleh mendapat faedah sampingan daripada bidang tertentu. Namun faedah tersebut jangan sampai menjejaskan matlamat yang asal.


Umpamanya jika pengamal undang-undang berfikir bagaimana untuk menghasilkan wang semata-mata sehingga mengenepikan soal keadilan. Atau jika ahli politik menganggap tujuan kegiatan politiknya untuk mengaut keuntungan sekalipun mengkhianati amanah rakyat. Atau jika penyampai dakwah islam bertujuan memperolehi habuan dunia walaupun menjejaskan tujuan asal dakwah. Maka pincanglah alam, rosak imbangan dan musnah segala peraturan dan tujuan kehidupan. Namun inilah realiti yang sedang kita hadapi sekarang..


Ustaz-ustaz dalam negara ini sering membaca hadis dhaif : “Hampirlah kefakiran itu menjadi kekufuran”. Hadis ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Namun hadis ini sering dibaca oleh panel-panel forum atau ceramah yang kurang teliti disiplin hadis, atau agak terburu-buru ingin memenuhi hasrat pihak menaja ceramah atau forum perdana yang biasanya dianjurkan oleh pihak yang dinamakan diri dengan “kemajuan Islam’.


Malang sekali mereka melupai hadis yang sahih yang merupakan amaran Nabi s.a.w terhadap umat ini. Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim:
“Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu dunia seperti mana dibentangkan kepada mereka yang terdahulu dari kamu (umat yang silam), lalu kamu bersaing untuk mendapatkannya seperti mana mereka bersaing. Lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti mana ia telah memusnahkan mereka”.


Ya, inilah realitinya. Memang, Islam tidak menyukai kefakiran, sebab itulah diperintahkan agar setiap muslim berusaha dan bekerja, menjadi rezeki dan menanggung bebanan keluarga, juga diperintahkan agar dibantu fakir miskin. Namun ketamakan kepada harta jauh lebih merbahaya daripada kefakiran. Apabila ketamakan menguasai diri, manusia bersaing sesama sendiri sehingga ke peringkat bunuh membunuh, jatuh menjatuh, dan tumbang menumbang. Dipertaruhkan maruah, harga diri, amanah, harta rakyat bahkan mungkin nyawa orang lain hanya semata kerana ketamakan harta. Hampir semua orang yang fakir ingin keluar dari kefakirannya, namun si tamak amat sukar untuk diheret keluar dari daerah ketamakan.


Mengubati kefakiran sebenarnya lebih mudah dari mengubati ketamakan. Penyakit kefakiran itu pula khusus untuk yang tiada harta dan amat miskin, sementara tamak boleh menimpa yang kaya dan miskin, yang jutawan dan yang dalam kefakiran. Ia boleh mengenai pemerintah dan rakyat, mat rempit dan ustaz.
Bukan Islam anti-harta, sama sekali tidak. Islam agama kerja dan mencari rezeki. Sehingga selepas solat Jumaat pun Islam tidak pernah mewajibkan untuk duduk di masjid untuk panjang-panjang. Sebaliknya disuruh untuk kita bertebaran mencari rezeki. Ini seperti firman Allah: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan (azan) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan Solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai Solat Jumaat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)” (Surah al-Jumuah, ayat 9 -10).


Friday 16 March 2012

Kuliah... Oh Kuliah...



Pictures taken from Cikgu Petrus Minggu Geradus at Bilik Kuliah 24 UMS

Seminggu kuliah memang memenatkan. Pagi, petang dan malam. Rasa penat, malas, happy bercampur baur. Walaupun hanya 4 subjek, kerja sana-sini berlambak. Bingung dan sakit kepala. Apakan daya, terpaksa akur demi segulung "kebanggaan".


Bila da rasa boring dengar kuliah, sekali sekala lepak di luar bersembang. Entah apa yang dibincangkan. Kadang-kadang, datang idea gila bercampur lawak dari teman sekuliah. Nakal, memang nakal.


Rumah sewa hanya menjadi tempat persinggahan tuk tido dan mandi. Kereta bergerak sana-sini melalui kesesakan yang teramat sangat di KK nie. Pakaian seminggu habis da diguna. Hehe, alamat orang rumah la jadi mangsa bekerja keras lepas nie.


Ahad ni bakal menempuhi perjalanan 10 jam melalui KK ke Tawau. Kena tiba ke destinasi secepat yang mungkin sebab banyak lagi kerja kena diselesaikan. Isnin kena kerja da. Rancangan Pengajaran Harian lum buat lagi. Kertas exam murid lum selesai lagi. Nasib badan... kena terima seadanya...

Wednesday 14 March 2012

TV3 kids intro. Apa yang best sangat.


Baru 4 hari berjauhan dengan baby, terasa rindu yang amat sangat. Terpaksa meninggalkan baby dengan umienya saja sebab si abah ini kena berkuliah di UMS.

Laptop dibuka, xtau nak buat apa. so, mula la melihat video-video lama yang didownload dari youtube. Terlihat 1 video, terus rindu kepada baby semakin menjadi.  Video tu adalah seperti yang anda saksikan di atas. Saya mendownload video ini sebab sejak baby berumur 8 bulan lagi, baby suka sangat tengok rancangan ni di TV3. Rancangan TV3 kids intro. Dalam sehari, rasanya berkali-kali TV3 mainkan rancangan intro ni. Dan setiap kali lah baby akan menontonnya dengan kusyuk. Walaupun ketika itu dia tengah main, makan, menyusu dan sebagainya. Paling tak best, bila baby nak tidur da dalam buaian atau dakapan umienya, pasti baby akan terjaga dan mata segar semula.

Apa yang best sangat ya dengan video ni. Hanya baby saya jak yang memahaminya. Rasa-rasanya la. hehe.

Perbezaan Orang dan Orang Utan


 
Habis kuliah di UMS, terus balik ke rumah sewa. Memang penat sebab kuliah dari pagi hingga malam. Lauk sardin siap dimasak. Hanya menunggu nasi untuk makan. Tengah duduk bersembang dengan 4 orang housemate, datang pula housemate yg lain. Duduk di meja sambil berbual-bual kosong, berkongsi cerita lawak, ketawa terbahak-bahak menghilangkan stress di kepala. Maklumlah banyak assignment kena dibuat. Sambil bersembang, tangan tak henti makan pisang.

Lalu timbul satu persoalan dari seorang housemate (cikgu asri khalid) tentang perbezaan antara orang dan orang utan. Apa perbezaan di antara orang yang makan pisang dan orang utan yang makan pisang? Mengikut kajian (kata kawan... tak tau lah betul atau salah) terdapat dua perbezaan yang ketara.

Yang pertama, Ketika mengupas kulit pisang, orang akan melihat ke arah pisang tersebut sambil mengupasnya, manakala orang utan pula akan mengupas pisang tanpa melihat pisang tersebut. Secara psikologinya, orang utan memandang di sekelilingnya kerana bimbang ada orang utan lain yang akan mengganggu dan merampas "habuannya" ketika sedang menikmatinya.

Yang kedua, kadang-kadang orang akan mengupas kulit pisang dengan 2, 3, 4, 5 dan 6 belahan, tetapi orang utan sentiasa mengupas kulit pisang dengan 3 belahan sahaja. Yang ini saya tak pasti lagi. Kena kaji dulu. Hehe.

Kesimpulannya, inilah kelebihan sekali-sekala bergurau dan berlawak dengan para ilmuwan. Walaupun dalam keadaan yang melucukan, ilmu pengetahuan dan maklumat sentiasa ada untuk dikongsi bersama.
Wallahua'lam...